Perkhidmatan dalam sektor awam amat kritikal dan mutu kualiti perkhidmatan yang tinggi dan effsyen serta berkesan merupakan satu aspek yang amat dituntut oleh orang awam. Perkhidmatan pilihanraya juga termasuk dalam situasi ini, dan tidak boleh dipandang enteng walaupun berjalan 5 tahun sekali. Maka saya ingin berkongsi berkenaan bagaimana lean dalam sektor awam khususnya di dalam pilihanraya.
Sebentar tadi saya baru pulang selepas menjalankan tanggungjawap sebagai pengundi di Saluran 5, di sebuah sekolah di Damansara. Proses pengundian setakat pagi tadi berjalan dengan lancar dan mengambil masa 50 minit dari ketibaan saya (0800) hingga proses pengundian (0850). Setelah selesai proses pengundian saya lihat barisan beratur menjadi berganda-ganda lebih panjang. Saya menjadi khuatir.
Berdasarkan maklumat yang dilekatkan di Saluran 5, dianggarkan terdapat 676 pengundi berdaftar. Ini satu jumlah yang besar bagi satu saluran mengundi. Kita boleh mengira masa maksimum yang diperlukan oleh SPR untuk memastikan kelancaran proses pengundian ini menggunakan konsep ‘Takt Time’. Takt Time ini diambil bersempena perkataan bahasa Jerman iaitu taktzeit yang bermaksud sela masa.
Untuk mengira Takt time proses pengundian ini, katakan kita ambil peratusan keluar mengundi adalah 85% berdasarkan data PRU13 pada 5 tahun lepas. Maka
85% x 676 = 574.6 atau dibundarkan 575 orang yang akan mengundi di Saluran 5, SMK Sek 6, Kota Damansara pada hari ini dari jam 8 pagi hingga 5 petang (9 jam atau 32,400 saat)
Formula Takt Time = Jumlah Masa / Jumlah Permintaan
Dalam situasi ini Takt time adalah 32,400 saat / 575 pengundi, bersamaan 56.3.
Ini bermaksud jika Suruhanjaya Piliharaya Malaysia (SPR) ingin memastikan proses pengundian berjalan lancar di Saluran 5, maka setiap pengundi perlu diproses oleh SPR dalam masa 56.3 saat sahaja.
Apa akan terjadi kalau SPR melebihi masa 56.3 saat/pengundi ini? Jika betullah anggaran peratusan keluar mengundi adalah 85%, maka akan ada pengundi yang terlepas peluang untuk mengundi kerana proses pengundian akan berakhir pada jam 5 petang. Ini pastinya akan menjemput pelbagai masalah selepas PRU.
Jika pihak SPR ingin memastikan kelancaran proses pengundian dan kesemua pengundi dapat menjalankan tanggungjawap, SPR terdapat 2 pilihan.
- Melanjutkan masa proses pengundian lebih dari 9 jam
- Membuka saluran pengundian yang lebih berdasarkan maklumat PRU yang lepas.
Situasi-situasi beginilah yang sebenarnya memerlukan perancangan proses yang teliti dan menyeluruh kerana seperti yang kita sedar, pilihanraya bukanlah satu perkara enteng. Dan lean dalam sektor awam bukan lagi kehendak, tetapi keperluan.
Selamat mengundi kepada semua!